Bayar Hutang Dahulu, Kata TMJ

Where Social Meets Financial

Featured Image

Bayar Hutang Dahulu, Kata TMJ

JOHOR BAHRU – Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menggesa pasukan yang berhutang gaji pemain supaya melangsaikan tunggakan gaji terlebih dahulu sebelum meminta kerjasama pemain mengenai pemotongan gaji.

Menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, TMJ menegaskan pandemik COVID-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pasukan tidak menunaikan tanggungjawab mereka membayar gaji sehingga tertunggak 2-3 bulan, walaupun pemain sedia memberi kerjasama berkenaan pemotongan gaji.

Menurut TMJ, beberapa pasukan juga mendapat sokongan bantuan kerajaan negeri, jadi mereka seharusnya tidak berdepan sebarang masalah membayar gaji pemain.

“Ini bukan soal pemain tidak mahu memberi kerjasama malah semua pemain bersedia bekerjasama. Tetapi pastikan segala hutang dengan pemain diselesaikan terlebih dahulu sebelum memberi alasan COVID-19 untuk memotong gaji mereka.

“Jangan masih ada tunggakan dua atau tiga bulan gaji tidak dibayar tetapi hendak menggunakan alasan COVID-19 untuk membuat pemotongan gaji.

“Pasukan seperti Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang harus menyelesaikan hutang dengan pemain mereka sebelum memotong gaji ekoran pandemik ini.

“Kebanyakan pasukan bergantung 100 peratus peruntukan daripada kerajaan negeri dan tidak mungkin pasukan-pasukan ini masih tidak membayar gaji.

“Ini boleh diumpamakan seperti tidak memegang amanah dengan sewajarnya. Mana-mana pasukan tidak seharusnya membebankan kerajaan negeri,” kata TMJ.

Baca post tersebut di bawah.