Kak Ogy Berjaya Bayar Hutang

Where Social Meets Financial

Kak Ogy Berjaya Bayar Hutang

Penerbit teater Korupsi Dewan Senandung, Fauziah Ahmad Daud berjaya membuat pembayaran gaji tertunggak kepada 6 pelakon selepas jualan produk pes karinya mendapat sambutan.

Fauziah, atau lebih popular dengan panggilan Ogy, berkata Pes Kari Ogy’s terjual 557 balang setakat 17 Mei lalu dan meraih RM15,596.

“Terlalu bersyukur, dari hasil jualan dan kempen pes kari ini saya dapat bayar enam orang yang terlibat dalam teater itu,” catatnya di Instagram.

“Memang ramai lagi yang belum dibayar dan saya masih berusaha nak dapatkan dana kerana memahami mereka nak beraya.”

Katanya disebabkan sambutan hangat jualan permintaan setakat ini ditutup dan dibuka semula kepada pelanggan selepas raya Aidilfitri.

Allah hantarkan Khairul

Menurut Ogy, khidmat yang ditawarkan individu yang dikenali sebagai Khairul Hakimin Muhammad itu bertujuan untuk membantu melangsaikan hutang kepada pelakon dan kru Teater Korupsi Dewan Semandung.

“Tidak menjangka Allah hantarkan Khairul. Dia mesej peribadi (DM) di Instagram dan mencadangkan pada saya buat kempen ini.

“Macam saya cakap sebelum ini, saya yakin Allah akan tolong dan Allah hantar dia. Saya juga mendapat doa orang ramai sejak isu ini tular.

Sementara itu, Khairul yang juga penulis buku motivasi berkata, khidmat ditawarkan secara percuma semata-mata untuk membantu Ogy melangsaikan hutang.

“Saya tengok Kak Ogy berusaha sangat memasak setiap hari, jadi saya fikir kena bantu dari segi pemasaran.

“Kebetulan saya ada ejen yang menjual beberapa produk saya. Jadi, saya gunakan mereka untuk buat hebahan.

“Apabila saya maklumkan pada Kak Ogy mengenai kempen ini, dia bersetuju. Kami tak ambil sesen pun komisen atau apa pun bayaran. Niat memang nak membantu,” katanya.

Menurut Khairul, biarpun tidak pernah berjumpa atau bekerjasama dengan pelakon filem Pusaka itu, dia tampil membantu kerana mengenang jasa Ogy dalam industri hiburan tanah air.

“Saya hanya rasa nak bantu sebab Kak Ogy banyak bantu saya secara tak langsung. Saya mahu balas budi saja. Sebenarnya, saya banyak kali gunakan Kak Ogy sebagai contoh dalam kelas storytelling yang saya pergi ke luar negara. Setiap kali tugasan diberi untuk lakonan, saya akan pilih babak lakonannya.

“Pendek kata, Kak Ogy banyak berjasa dalam industri. Saya fikir walau dia tak kenal saya, saya bantu saja. Jadi, apabila terbaca kes ramai tidak dapat bayaran dalam teater itu, saya pun beranikan diri DM Kak Ogy,” katanya.

Ogy Tak Lari

“Biar saya dikecam tapi saya tidak akan lari daripada tanggungjawab saya untuk menyelesaikan hutang-hutang ini.

“Lambat atau cepat saya tetap akan bayar,” tambahnya.

Pemilik Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu turut mengulangi pendiriannya tidak mengambil sebarang keuntungan hasil jualan tiket teater yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

“…saya tak ambil satu sen pun duit hasil jualan tiket dan bukan salah saya pun dengan apa yang terjadi tetapi saya harus menjaga maruah orang lain yang terlibat.