Moratorium Ditarik Balik?

Where Social Meets Financial

Moratorium Ditarik Balik?

Pada 30hb April 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kenyataan yang mengejutkan.

Pada 30hb April 2020, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kenyataan berkenaan moratorium pinjaman sewa-beli yang mengejutkan orang ramai kerana dilihat sebagai membatalkan moratorium atau ‘u-turn‘ ke atas pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri pada 24hb Mac lalu.

Apa cerita sebenarnya?

Kekeliruan timbul daripada 2 kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM di laman web dan Facebook mereka, mengenai perincian pelaksanaan moratorium oleh pihak bank. Kenyataan tersebut khusus kepada pinjaman sewa-beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap. Ini bermakna ia akan memberi impak kepada pinjaman kereta anda.

Dalam ribuan komen netizen terhadap kenyataan tersebut, terdapat 2 isu utama.

Perlu ke mohon moratorium?

Jawapan BNM adalah masih sama, tidak perlu. Tetapi perincian operasi bank memerlukan peminjam melengkapkan dokumen bagi mengaktifkan moratorium. Dokumen dan proses yang diperlukan adalah ditetapkan oleh bank masing-masing.

Dengan kata lain, anda masih perlu semak dengan bank anda untuk memastikan moratorium pinjaman kereta anda berkuatkuasa.

Orang ramai mungkin menganggap apabila moratorium dikatakan ‘automatik’, maka tidak perlulah berbuat apa-apa. Namun, jika pihak bank anda belum menghubungi anda (melalui SMS atau cara lain), maka eloklah kita mengesahkan dengan pihak bank untuk mengelakkan salah faham.

Adakah faedah masih dikira semasa tempoh moratorium?

Jawapan BNM adalah, ya. Faedah/keuntungan masih berjalan ke atas pokok pinjaman. Cuma bayaran balik bulanan (instalment) sahaja yang tidak perlu dibayar dalam tempoh moratorium.

Bagi bank-bank yang telah mengumumkan tiada faedah kompaun (compounded interest), anda tidak dikenakan faedah ke atas faedah.

Tambah BNM lagi, peminjam boleh memilih untuk teruskan bayaran balik. Untuk tips sama ada anda perlu mengambil moratorium, lihat artikel ini.